Wednesday, September 22, 2010

DIMENSI MEMENJARAKAN MANUSIA



Akal merupakan  salah satu nikmat dan hikmat pemberi Allah s.w.t kepada manusia dan akal jugalah yang menjadi sumber dan punca (sumber dan punca utama adalah Allah s.w.t dan akal bukanlah satu-satunya sumber dan punca yang wujud didalam diri manusia) kepada kelahiran pengetahuan bagi setiap manusia.
Namun akal mempunyai hak dan sempadannya yang tersendiri. Manusia yang cerdik didalam pelajaran tidak semestinya cerdik didalam soal kehidupan.
Akal memandang dan berfikir hanya pada dimensinya dan akal tidak mampu memandang kepada luar dari dimensinya. Pemikiran dan pandangan akal hanya terhad didalam kotak dimensi dan kerana dimensi yang terhad inilah yang menyebabkan manusia terpenjara atau erti kata lainnya ‘dimensi memenjarakan manusia’.
Akal juga mempunyai skop-skop atau sempadan-sempadan kecilnya yang tersendiri. Ibaratnya dimensi asal akal atau had sempadan asal adalah ‘negara’ dan skop-skop atau sempadan-sempadannya adalah ‘negeri-negeri’, ‘daerah-daerah’ dan ‘kampung-kampung’.
Sesetengah manusia hanya mempunyai akal yang bersaiz negeri, daerah dan kampung. Dan disebabkan akal yang berskop dan berskala inilah wujudnya pandangan dan pengetian yang sempit yang menyebabkan sesetengah manusia itu tidak mampu meletakkan diri mereka pada tempat orang lain.
Disebabkan inilah wujudnya perbezaan pendapat dan perbezaan fahaman. Mereka yang berada didalam skop mereka tersendiri tegar menyatakan bahawa mereka adalah benar dan betul walaupun pada dasar dan hakikatnya mereka tidak benar dan betul.
Sebagai manusia yang beragama Islam. Seharusnya pemikiran kita tidak hanya terhad kepada skop-skop kecil sahaja malahan tidak juga sekadar hanya terkurung pada dimensi akal yang asal kerana Allah s.w.t bukan hanya memberikan akal sebagai sumber atau punca yang tunggal kerana selain daripada akal wujudnya hati iaitu ‘pembenar kepada yang benar’ atau erti kata lainnya ‘hakim’ didalam diri setiap manusia Islam.
Dimensi hati amat berbeza dari dimensi akal kerana demensi hati lebih luas dan meluas dari akal. Akal hanya cenderung kepada apa yang didalam pandangannya (logik). Dimensi manusia akan bertambah meluas apabila wujudnya penyatuan atau persatuan antara akal dan hati, namun begitu penyatuan atau persatuan ini tidak dapat berlaku akibat daripada dimensi akal yang terhad, dimana pemikiran akal manusia tidak dapat menghuraikan sesuatu yang mendalam dan malahan menafikan kewujudan ‘akal hati’.
Akibat daripada penafian inilah yang membuatkan manusia zaman sekarang terpenjara didalam dimensi akal mereka sendiri dan pemikiran mereka hanya mampu berlegar didalam dimensi mereka sahaja dan membuatkan mereka lemah.
Pada zaman ini kecerdikan akal amat disanjung oleh manusia, pelbagai-bagai gelaran dan taraf diberikan sebagai tanda penghormatan kepada kecerdikan akal. PhD, Master, Degree dan Diploma adalah antara taraf-taraf sanjungan yang diberikan kepada kecerdikan akal.
Namun, pangkat-pangkat ini hanyalah pengiktirafan terhadap skop-skop tertentu akal sahaja. Sebagai contoh seorang doctor perubatan hanya sekadar doctor dan jika wujud percambahan skop (erti kata lain ‘dwipemikiran’ atau ayat yang senang ‘menguasai lebih dari satu bidang’) ia masih dikatogerikan didalam dimensi akal kerana sememangnya lumrah akal ialah untuk menguasai ilmu dunia.
Sebagai contohnya untuk melihat kedaifan dimensi akal. Jika digunakan akal 100% tanpa membabitkan pengaruh hati, seperti contoh Darwin, dimana dia menyatakan bahawa asal kejadian manusia itu adalah daripada evolusi beruk (dia memang keturunan beruk). Pendapat ini berlaku adalah akibat daripada  akal yang melihat kepada ‘sistem logik’ yang terkandung didalam dimensi akal.
Pendapat ini ditentang hebat oleh umat Islam (ada juga yang percaya) kerana kepercayaan terhadap Islam, namun apakah akan berlaku pernentangan ini jika umat Islam tidak mempunyai kepercayaan terhadap agama? Seperti komunis? …
 
Darwin itu bukan Islam tapi ada juga orang Islam seperti Darwin tetapi didalam lain kes. Seperti yang berlaku di sebuah negara, mayat yang telah dikebumikan selama lebih 20 tahun tetapi masih lagi tidak reput. Apa pendapat dan pandangan kalian? Bukankah itu menunjukkan kekuasaan Allah s.w.t? Tapi ada pandangan seorang pakar, mayat itu tidak reput adalah kerana tanah tempat mayat itu dikebumikan mengandungi tahap kapur yang tinggi dan sekalis gus ia mengawet mayat itu dan menghalanginya daripada mereput. Inilah dimensi akal. Dimensi akal pakar tersebut hanya pada logik skopnya pemikirannya sahaja (inilah tanda matinya akal hati).
Jika pakar tersebut menyatakan bahawa pendapatnya tentang mayat tersebut adalah disebabkan persoalan yang diutarakan kepadanya berkisar kepada bidangnya, maka sekali lagi dapat membuktikan bahawa itulah dimensi akal, daifkan pemikiran akal sehinggakan mampu mengenepikan keyakinan hati.
Didalam persoalan takdir pula. Akal bertindak kepada konsep ‘berusaha’. Slogan akal ‘tiada usaha tiada hasil’. Bila berusaha dan usahanya mendapatkan hasil maka itulah hasil usahanya (kata akal dan orang yang pakai akal) tapi apabila berusaha tetapi tetap tidak berhasil, apa pula katanya? Katanya itu adalah takdir Tuhan. Itu membuktikan dimensi akal itu terlalu terhad dan dimensinya berubah bila berlaku perubahan sifat keadaan atau erti kata lainnya dimensi akal itu berubah dari skop kepada skop yang lain apabila mengalami kesan atau sesuatu keadaan yang tidak dapat dihuraikan dan menyebabkan akal kembali kepada ketetapan hati.
Sesungguhnya dimensi akal ini amat terhad sehingga ia perlukan sesuatu dalil atau pendapat untuk bersandar dan untuk mempertahankan hujah dan pendapat dari dalam dimensinya dan jika pendapat atau sesuatu dalil itu tidak dapat mempertahankan hujah dan pendapatnya maka ia(akal) kembali kepada kekuasaan Allah s.w.t dengan memakai pejalanan hati.
Akhir kata, penulisan ini bukanlah untuk meremehkan akal tetapi untuk mengajak pembaca untuk keluar dari dimensi akal yang terhad ini kepada dimensi yang lebih luas. Kata orang tua jika malu bertanya maka akan sesat jalan, maka seperti itulah akal memerlukan hati agar tidak tersesat didalam dimensinya sahaja. 
Sesungguhnya umat Islam amatlah bertuah kerana setiap dari kita memiliki akal hati iaitu tempat bernaungnya agama tetapi sayangnya separuh dari kita banyak menggunakan pendapat akal semata-mata sehinggakan menafikan kewujudan akal hati.
Gunakanlah sebaik mungkin pemberian-pemberian Allah s.w.t kepada kita. Pandanglah seluas-luas yang mungkin dan jika terhalangnya pandangan itu maka kembalilah kepada keyakinan(hati). Berusahalah untuk mengimankan akal agar ia tidak bersekutu dengan nafsu untuk mengotori hati. Tundukkanlah akal kepada ketentuan dan bukannya kepada kelogikkan. Satukanlah akal dengan hati supaya ia(akal) kembali kepada pengakuan “aku adalah hamba-Mu dan Engkau adalah Tuhanku”.  Jangan membiarkan dimensi akal memenjarakan kita.

0 comments:

Post a Comment